Friday, May 27, 2011

Al-Fatihah...

Entry ini adalah dedikasi untuk arwah Wan yang telah kembali ke Rahmatullah pada tanggal 13 Mei 2011.


"Masih terdengar tawa Wan bila dia geli hati. Masih jelas kelibatnya sedang mengerjakan solat. Masih terlihat senyumannya. Masih terasa kehadirannya."


Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang beriman.



Have you ever lost someone you love most?


 Someone whom you couldn't live without? 




11 Mei 2011


Terngiang-ngiang di telinga bila Mama menangis dihujung talian "Nina, Wan tenat! Wan tenat!" Detik itu, seluruh tubuhku bergetar selari degupan jantungku yang kencang. Air mata mula mengalir deras. Jari jemari bingkas mendail nombor telephone Ayah. Malam itu juga Ayah bergegas pulang ke Kedah untuk menziarahi Wan. Wan ternyata sedang nazak. Hidupnya hanya bergantung kepada ventilator. Kesian Wan...Hati jadi tidak tentu arah bila mendengarkan keadaan Wan yang sememangnya serius. Memang hati ini akur dengan ketentuan-Nya. Setiap apa yang hidup pasti mati. Akan tetapi, bila terbayang keadaan Wan semasa dia masih lagi boleh berkata-kata, hati jadi sayu. Sayu dan pilu. Terasa macam ada sesuatu yang menekan dada. Masih jelas raut wajah Wan waktu dia memegang erat tangan ku ketika dia terlantar di hospital.

Esoknya, aku dan Fariz terus bergegas pulang ke kampung. Ayah ada memberitahu Wan bakal dibawa pulang ke rumah. Keadaan Wan semakin serius dan doktor tidak mampu lagi membantu. Sepanjang perjalanan, aku berdoa agar diberi kesempatan untuk bertemu Wan. Aku dan Fariz tiba di kampung tepat jam 2.30 pagi. Setibanya dirumah, aku meluru masuk dan ku lihat sekujur  tubuh terbaring lemah di ruang tamu. Masya'allah...Allah itu Maha Mendengar! Aku amat bersyukur dipertemukan dengan Wan walaupun dirinya sudah di penghujung nyawa. Luluh rasa hati bila melihatkan orang tersayang dalam keadaan sebegitu. Nafas Wan semakin perlahan. Aku akur malam itu malam terakhirnya. Kulihat tubuh Wan membengkak (akibat kegagalan fungsi buah pinggang). Allah sahaja yang faham akan perasaanku ketika itu. Kakinya sudah pucat kekuningan dan tika itu sudah terkulai layu. Wan tidak mampu lagi bercakap dan sudah tidak sedarkan diri.



13 Mei 2011, 3.10 pagi

Aku dan Fariz bingkas menghadiahkan Yassin untuk Wan. Belum pun sempat aku menghabiskan bacaan ku, Wan menghembuskan nafasnya yang terakhir di sisi anak-anak dan cucu-cucunya. Innalillah wa-inna ilaihi raji'un. Kala itu, air mataku bagai sudah kekeringan. Aku harus cekal walau aku mengerti akan kesedihan yang dirasai semua. Wan ibarat menungguku sebelum pemergiannya. 


Hiba rasa hati pabila Wan diusung untuk dimandikan. Tika itu aku sedar yang aku akan berpisah dengan Wan buat selama-lamanya. Ya'allah, sungguh jelas terlihat kebesaran-Mu. Wan pergi dengan begitu tenang sekali. Wan pergi pada hari Jumaat. Subhanallah...Sebelum jenazah disempurnakan, aku kucup Wan berkali-kali. Bau Wan ketika itu masih tersemat dalam ingatanku.  Ya'allah...kuatkan lah aku untuk menempuh takdir yang Engkau tetapkan.  Jenazah Wan disembahyangkan dan disempurnakan selepas solat Jumaat. Aku sempat mengiringi jenazah sehingga talkin habis dibaca. Ku iringi doa agar Wan tenang di sana. Al-fatihah.


27 Mei 2011


Hari ini, genaplah 15 hari pemergian Wan. Terus-terang aku katakan, hati ini masih tidak rela menerima takdir. Tapi itulah qada dan qadar. Besar dosanya jika kita tidak mengiyakan apa yang telah termaktub oleh Allah SWT. Ia tidak bisa lagi diubah. Sudah tertulis di Lauhul Mahfuz Wan pergi begitu cepat. Bagi aku, Wan masih dekat dihati. Acap kali aku menghadiahkan Yasin, air mataku seperti tidak mampu dikawal. Aku berdoa barangkali dapat dipertemukan dengan Wan di dalam mimpi. Aku amat merindui Wan. T_T Untuk Wan, antara orang terpenting dalam mencorakkan hidupku, ini doa untuk mu. 


“Ya Allah! Ampunilah dia dan kasihanilah dia dan sejahterakanlah serta ampunilah dosa kesalahan dia. Dan muliakanlah kedatangannya dan luaskanlah tempat masuknya (kuburnya) dan bersihkanlah dia dengan air salju dan embun, bersihkanlah dia dari segala dosa dan sebagaimana kain putih yang bersih dari segala kotoran dan gantikanlah baginya rumah yang lebih baik dari rumahnya dan gantikanlah isteri yang lebih baik dari isterinya dan gantikanlah keluarga yang lebih dari keluarganya dan peliharalah (hindarkanlah) dia dari seksa kubur dan seksa neraka.”





P/s: Terima kasih kepada my hubby yang banyak membantu menyempurnakan jenazah Wan. Terima kasih juga kepada setiap yang mengucapkan takziah. 


Wan dengan menantu + cucu-cucu lelaki.

Antara orang-orang terpenting dalam hidupku.

Aidilfitri terakhir diraikan dengan Wan.

Wan dan cucu-cucu perempuan. 

Wan seemed unhappy ='(

We miss you, Wan.

No comments:

Post a Comment